Tuesday 21 January 2014

Hati Tak Bertajuk 1


Assalamualaikum..sekadar mahu mencuba..ada rezeki, ada daya, ada peluang In shaa Allah akan dikembangkan. Saya budak baru belajar..hihi.. HATI TAK BERTAJUK 1.


"Abang . I'm pregnant !" Ayat keramat itu akhirnya terluah jua. Dengan senyumanku yang maha lebar bersambut dengan senyumannya disusuli ucapan syukur.

"Alhamdulillah, sayang. Abang gembira sangat." Katanya seraya membawa diriku ke dalam pelukan eratnya. Penuh kasih belakangku di usap perlahan, kepalaku dikucup bertalu-talu. Aku mengerti kegembiraannya ketika ini. Sama sepertiku. 

Aku merenggangkan pelukan kami, menentang wajahnya. Terserlah kegembiraannya yang sukar disembunyikan. Senyumanku masih kuhulurkan buatnya, tanda aku juga sukar menyembunyikan kebahagiaanku kerana mengandungkan zuriatnya. Namun, senyumanku kini, sedikit demi sedikit kian pudar, apabila kurasakan pandanganku kian kabur. Badan kurasakan kian memercik keringat. Hangat tiba-tiba. 

"Adilla ! Adilla !" Suara itu memanggilku. Dia menyeru namaku berulang-ulang. Namun, pandanganku semakin gelap.

"Adilla !" Terasa pipiku ditepuk perlahan. "Adilla !" Kali ini, suara itu semakin kuat menyeru seiring tepukan di pipi yang juga keras. Aku berusaha juga mahu membuka mataku yang kian terpejam.

"Adilla !" Pap ! Tepukan bisa dipunggungku berjaya membuka mataku. Kulihat sekeliling. Serentak itu aku tersentak dengan figura yang terlayar di mataku ketika ini. Eh, kenapa muka orang lain ni? Tadi bukan muka lelaki ke? Lelaki yang tidak terlalu muda dan tidak terlalu tua. Wajah seorang lelaki yang matang. Lelaki yang kuyakini suamiku.

Tapi, kat depan mata aku ni? Seorang wanita yang agak berusia tapi tidak terlalu tua. Umurnya mungkin dalam lingkungan lewat 40-an. Kepalanya tersarung anak tudung hitam, berbaju kurung. Ku amati dirinya seteliti yang mungkin.

"Hah ! Dah habis tilik?" Keras suara itu menegurku. Erk. Aku macam kenallah suara ni. Kuluaskan bukaan mataku sekali lagi. Dia juga membulatkan matanya. Bibirnya diketap seakan-akan geram. Dan...

"Mak?!"

"Ha. Mak la ni. Kenapa? Mak cantik sangat ke yang kamu nak terkejut sangat ni?"

"Eh, ma..ma..macam mana mak boleh ada kat sini?" Tanyaku hairan.

"Kamu ni dah kenapa, Dilla.? Mak memang ada kat sinilah."

"Tapi, tadi mak takde pun. Kitorang belum jumpa mak lagi pun."

"Kitorang? Siapa 'kitorang' tu?" Keningnya dah bercantum. Eh, comel pulak aku tengok.

Aku jeda seketika. "Tadi, Dilla bukan dengan suami Dilla ke, mak?" Soalku perlahan dan satu-satu ayat itu kusebut.

Mata emak dah membulat. "Suami?!" Dah macam petir suara dia ni. 

Pap ! "Adui...! Mak..! Apa ni? Sakitlah." Sekali lagi punggungku ditepuknya. Dah kenapa emak aku ni? Aku salah tanya ke?

"Bila masa pulak kamu menikah? Bila masanya kamu ada suami, Dilla? Kamu jangan nak naikkan darah mak. Kamu ni, dah sedar ke belum ni?" Soalnya bertalu-talu.

Aku hairan dengan kata-kata emak. Takkan emak tak tahu aku dah kahwin kot. Dah mengandung dah pun. Eh, takkan aku kahwin lari pulak? Tapi, emak sebut 'dah sedar ke belum'. Sedar? Pantas kuhalakan pandanganku di sekeliling. Tadi, dindingnya semua putih. Macam dekat bilik klinik.  Tapi sekarang, kenapa dinding bilik ni warna putih dan ungu. Ada meja solek di sudut kiri bilik. Tingkap besar disebelah kanan serta kerusi cleopatra berada di bawahnya. Bantal, selimut dan cadar corak abstrak serba ungu. Aku rasa ni macam bilik aku. Kutilik diriku yang berbaring. Seketika otakku mencerna. Dan...

"Alamak !" Pantas aku bangun dari pembaringanku.

"Ha. Baru sedarlah tu." Suara emak sekali lagi kedengaran.

"Dilla mimpi ke mak?" Tiba-tiba aku rasa frust semacam aje. Alah, kenapa mimpi? Aku ingatkan aku betul-betul dah kahwin. Nak ada anak dah pun. Haishh..! Potong..!

"Kamu ni, memang nak kena kahwin, Dilla. Tidaklah cuma mimpi ada suami aje macam ni." Emak aku ni, mulalah tu nak buka bab-bab munakahat dia tu. Aku diam aje. Malas nak menjawab. Karang, macam-macam bab emak aku buka. Panas telinga ni nak mendengarnya.

"Tak nak bangun lagi ke? Tak kerja?" Soalnya. Aku mula melentokkan kepalaku pada lengan emak, menyambung lenaku. Bukanlah nak lena betul-betul pun. Saja aku nak manja-manja dengan emak kesayangan aku ni.

"Kerjalah mak. Mana boleh tak kerja. Karang, kena buang kerja pulak. Anak kesayangan mak ni makan apa?" Kataku. Aku masih lagi bermalas-malasan di atas katil. Berat pula rasa hati nak tinggalkan katil queen sizeku ini. 

"Dah tu, tak siap lagi ni? Muka sememeh aje ni.  Atau Dilla plan nak pergi kerja lewat hari ni?" 

"Eh, taklah mak. Pergi kerja macam biasalah." Jawabku dengan mata masih terpejam.

"Masuk kerja pukul 9.00 pagi. Sekarang dah pukul 9.30 pagi nak oi. Bila nak siap ni?"

"Ala. Awal lagi ni mak. Baru 9.30."  Aku masih melayani mataku. Eh, emak cakap apa? 9.30? 9.30? "Ha?! 9.30?." Aku pandang emakku dengan perasaan terkejut. Gila kau ! 9.30 tu. "Dilla dah lewat mak !" Kelam-kabut aku bangun, terjun dari katilku.

"Bertuah betullah anak ni. Main terjun-terjun pulak. Dah tak ingat dia tu perempuan ke apa? Ish." Terdengar bebelan emak ketika aku kelam-kabut mengambil tualaku yang tergantung di ampaian pendek sudut kiri berhampiran pintu bilik air.

"Kenapa mak tak kejutkan pagi-pagi? Dah pukul 9.30 baru nak kejutkan. Mak ni," Rungutku. "Mampuslah Dilla ni mak. Mengamuk  'singa' kat ofis tu mak." keluhku. Pantas aku menuju ke bilik air.

"Bertuah oi. Mak dah kejutkan pukul 8.45 tadi. Naik kematu tangan mak ni ketuk pintu bilik tu. Kamu yang nyenyak sangat tidur." Terpaku langkahku di muka pintu bilik air. Kupusing kepalaku pada mak. 

"Ada ke?" Aku tersengih. Memang betul kuat penangan mimpi aku mengandung. Sampaikan tak dengar mak ketuk pintu. Biasanya, aku 'awas' bunyi-bunyi kuat macam tu. Mak hanya menjeling melihat sengihanku. Lantas aku segera masuk untuk memenuhi agendaku. Mandi. Aku betul-betul terlewat pagi ni.

"Subuh ke tak pagi tadi, Dilla?" Laung mak dari luar bilik airku. 

"ABC, mak?" Jawabku.  Hai, mak aku ni. Aku dah lambat, sempat lagi nak investigate bagai.

"Apa bendanya ABC tu?" 

"Allah Bagi Cuti." Harap mak fahamlah.

"Betul ni?" Eh, mak ni. Tak percaya ke?

"La. Betullah mak. Sejak bila mak tak percaya kat Dilla ni?"

"Bukan tak percaya. Kamu tu banyak sangat 'konar'." A.k.a corner, kalau nak bagi faham.

"Eh. Mak ni. Kalau tak percaya, Dilla boleh tunjuk ni, ha. Bukti." Gila nak tunjuk 'bendera merah' aku kat mak. Mahunya mak aku tu pengsan nanti. Hihi.

"Ee. Tak kuasa mak nak tengok. Tak pasal-pasal muntah hijau nanti mak ni." Aku dah tergelak kuat dari dalam ni. Itulah. Nak sangat siasat aku, kan? Haha.

"Cepat sikit mandinya tu. Turun sarapan. Mama dah tunggu kat bawah tu." 

"Ayah dan abah dah pergi pejabat ke, mak?" Tanyaku.

"Sekarang dah nak pukul 10 pagi Dilla. Takde maknanya ayah dan abah kamu tu ada kat rumah lagi. Sudah. Cepat mandi."

"Ok, boss." 

20 minit kemudian, aku siap sepenuhnya. Inipun dah macam kartun aku kelam-kabut  menyiapkan diriku. Nasib baiklah aku terlebih rajin minggu ni. Semua baju kerjaku untuk lima hari ni, aku dah siap gosok Ahad lepas. Jadi, pasal baju settle walaupun siap  ala kadar sahaja. Cuma katil aje yang belum settle. Alahai, memang tak sempat dah ni. Dah lewat sangat. Nampaknya, terpaksalah mohon jasa baik emak  tolong kemaskan katil aku ni. Hihi.

Pantas aku menuruni anak tangga. Tangan kiri yang terlilit jam tangan kuangkat. Serta-merta langkahku terpaku di anak tangga terakhir. La, mana perginya jam aku ni? Lupa nak pakaikan ! Dahi kutepuk. Aku berpaling, naik semula ke bilikku. Jam yang berada di atas meja solek pantas kucapai tanpa memakainya. Nanti dalam kereta boleh pakai. 

Sebaik tiba di muka pintu, aku capai high heel 2 inciku, pantas kusarungkan pada kaki. "Adik !" Aku menoleh. Mama berjalan mendekatiku. "Nak pergi dah? Tak nak breakfast dulu ke?"

"Adik dah lambat sangat ni Ma. Dah dekat pukul 10 pagi." Kataku lembut.

"Kalau iya pun, sarapan sikit. Buat alas perut. Jom, mama dan mak pun belum sarapan lagi." Alahai mama aku ni.

"Kenapa mama dan mak belum sarapan lagi ni? Dah lewat, ma."

"Macam tak biasa pulak kamu tu, Dilla. Selalukan kita sarapan sama-sama." Terdengar suara emak menyampuk dari ruang makan. Mama tersenyum kepadaku. Aku tersengih.

"Iyalah. Dilla tahu. Tapi, kan dah lewat ni. Mama dan mak tak payahlah tunggu Dilla." Aku dan mama bergerak ke meja makan.

"Mama tak biasalah kalau tak nampak adik kat meja makan tu." Kata mama pula.

"Alolo. Sweetnya mama adik ni. Next time tak payah tunggulah mama, mak. Kalau dah lewat sangat macam ni, mama dan mak sarapan dulu. Tak baik tau sarapan lewat. Nak pulak perut dah veteren macam perut mama dan mak. Dilla takpe. Perut muda belia." Aku tergelak kecil.

"Ha, dah mulalah hantu sakat dia tu," Mama mahu memulas telingaku. Tapi aku pantas mengelak. Segera aku duduk untuk menjamah sedikit sarapanku. Sudah terhidang separuh bee hoon goreng di depan mataku. Cukup tiga suap dan seteguk milo, aku berpaling ke sebelah kananku, mencapai tangan kanan emak. Lantas kukucup.

"Mak, Dilla nak pergi dah." Pipi kiri dan kanan mak kukucup juga. Kemudian aku ke sebelah kiri pula menyalami tangan mama yang berada di hujung meja. "Mama, pergi dulu." Juga kucium tangan dan pipinya.

"Bawak kereta jangan laju-laju Dilla. Karang mak pulak yang sekeh kepala awak tu laju-laju." 

"Amboi mak. Pesanan penaja tu, 'makan dalam' sungguh la." balasku dengan sengihan. 

"Apa, tak betul mak cakap? Dilla tu kalau dah driving, dah rasa jalan tu macam abah dia punya aje." Mulalah emak aku ni, start enjin bebel dia pagi-pagi yang indah ni. Aku dah mula bangun dari kerusi.

"Eh, kalau abah punya, takde maknanya jalan tu jadi jalan. Lama dah terpacak banglo 25 biji kat situ." Aku tergelak kecil. 

Pap ! "Auuwww.....!" aku terjerit kecil. Ngeee.....bisanya..! "Mak, masuk ni, dah tiga kali mak buat niaya kat punggung Dilla, tau. Karang, dibuatnya susah anak mak ni nak mengandung, mak jugak yang nangis tak berlagu nanti, kempunan takde cucu dari anak tunggal mak ni." Emak ni memang la. Sakit kot..!

"Kata-kata tu, doa tau. Nak sangat ke?" 

Erk ! Terus ku tekup mulutku dengan dua telapak tanganku sambil kugeleng kepala laju-laju. "Mak ni, kalau bab-bab provokasi, memang maklah menang kerusi pilihanraya." Ewah. Mentang-mentang sekarang memang musim pilihanraya, kuselitkan sekali. Hihi.

"Sudahlah nak mengarut tu adik. Kata dah lambat. Karang tak cukup tanah adik nak lari bila 'singa' kat ofis tu merempan." Aku dah tergelak bila dengar mama juga turut menggelarkan bos aku tu 'singa'.

"Tak cukup tanah, adik naik kapal terbang pulak. Tak jejak tanah punya." Kukenyit mataku pada mama dengan sengihanku.

"Tengok tu. Tak sudah-sudah lagi. Dah, keluar. Dah tahu lambat, meraban tak habis-habis." Wah..emak dah tunjuk kuasa veto dia.

"Mak ni, tak sayang anak la tu. Macam menghalau aje."

"Adilla..! ," naik satu oktaf ton suara emak. Dan aku tergelak lantas melarikan diri ke arah 'boyfriend' kesayanganku yang putih melepak itu.

"Ok, maam. Bye. Assalamualaikum." Pintu Suzuki Swift sebelah pemandu kubuka sambil melambai-lambai tanganku ke arah emak dan mama kesayanganku.


;-) 

No comments:

Post a Comment